Satu perjalanan… seribu pengajaran

Sahabat seperjalanan sahabat setiakawan
June 5, 2018

Satu perjalanan… seribu pengajaran

Pepatah mengatakan, “ Sekeping gambar boleh menceritakan seribu perkataan”. Pernahkah kita mengira berapa keping gambarkah yang telah kita rakam dalam setiap perjalanan kita? Bagaimana pula tempat dan peristiwa yang tidak sempat kita rakamkan? Muaturun gambar-gambar tersebut dalam facebook dan lihat ulasan-ulasan yang diberikan. Ianya lebih mengujakan sekiranya perjalanan tersebut merupakan destinasi yang baru dan asing untuk kita.

Samada ulasan yng diberikan tertumpu pada gambar keadaan diri kita, orang-orang yang disamping kita atau pun suasana persekitaran. Setiap ulasan akan memberi sudut pandangan yang berbeza. Kesemua ini melambangkan pengajaran dari pengalaman yang kita lalui.

Soalnya, berapa ramai dari kita yang mengambil pengajaran dari setiap tempat yang dilalui. Madah yang berbunyi – “Kejayaan bukanlah tibanya di tempat tujuan tetapi ialah pengajaran yang diambil disepanjang perjalanan yang dituju” adalah perkataan yang paling tepat dalam menggambarkan kebijaksanaan perjalanan kita.

Malang bagi mereka yang hanya sekadar bergembira dengan keindahan panorama, keenakan makanan, kehebatan hiburan serta budaya dan yang seumpama dengannya didestinasi masing-masing setelah menghabiskan wang yang banyak untuk mengembara sedangkan setiap langkah yang dilalui adalah termasuk kos yang dikeluarkan.

Mari kita perhatikan. Perjalanan yang jauh akan meyebabkan kita membuat persediaan awal apatah lagi sekiranya tempat itu berbeza cuaca dan budaya. Kita akan membeli pakaian yang sesuai dengan tempat tersebut serta makanan yang sesuai dengan selera kita. Lagi lama kita bercadang untuk menetap ditempat tersebut maka lebih banyaklah bekalan yang kita sediakan. Seharusnya kita mengambil iktibar dari keadaan ini dengan mengambil kira bagaimana pula persediaan kita di alam yang akan kita tujui nanti. Alam yang berbeza dengan alam yang kita diami sekarang dan akan kekal selama-lamanya.

Seterusnya, dalam setiap pengembaraan kita dari satu Negara ke Negara yang lain, kita akan diperiksa oleh pihak yang berkuasa seperti imigresen dan kastam. Sebarang dokumen yang tidak lengkap seperti passport tamat tempoh atau tidak mempunyi visa, mahupun kesilapan nama dalam tiket penerbangan akan membantutkan perjalanan. Begitu juga barang-barang yang kita bawa. Apa jua barangan yang tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan, maka perjalanan kita akan disekat. Kita akan menunggu lama untuk diperiksa di lapangan terbang di Negara kita dan juga di Negara yang kita pergi. Pengajarannya ialah- kita juga akan diperiksa sebelum kita meninggalkan dunia ini, semasa kita dalam penantian (alam kubur) dan juga apabila kita tiba seawalnya di alam satu lagi.

Sekiranya kita ke eropah, undang-undang di sana melarang kita membawa atau memakai barang-barang berjenama palsu dan kita akan didakwa serta didenda. Walaupun tujuannya menjaga pasaran di sana, tetapi kesimpulannya ialah barangan palsu tidak layak digunakan di tempat asalnya. Tidakkah ianya memberi makna kepada kita tentang amalan yang kita perlu bawa di akhirat nanti?

Terlalu banyak pengajaran serta iktibar yang boleh kita ambil di sepanjang perjalanan kita. Apatah lagi ditempat yang kita lawati. Amat rugi sekiranya kita memerhati dan menghayati perjalanan hanya melalui mata dan perasaan tetapi meninggalkan akal kita.

Perjalanan yang menarik tidak semestinya di tempat-tempat yang mewah sahaja seperti dinegara-negara maju atau Negara membangun. Kebelakangan ini, negara –negara yang miskin dan mempunyai kesan sejarah kehidupan yang memeritkan menjadi tempat tujuan pelancongan. Di tempat kita, Negara Kemboja, Vietnam, Myanmar mula menjadi tarikan pelancong bagi umat Islam di Malaysia. Kemboja adalah lambang penderitaan, kemiskinan dan penindasan oleh pemerintahan yang zalim satu ketika dulu manakala Vietnam menyimpan sejarah perjuangan yang kental walaupun kecil melawan dan mengalahkan penjajah yang datang dari kuasa besar dunia.

Di Afrika dan Asia Barat, Negara-negaranya dilawati kerana mempunyai kesan sejarah dunia yang tinggi. Kerajaan Rum, Greek dan Parsi terletak di sini. Bagi umat yang menganuti agama samawi( langit) iaitu Islam, Kristian dan Yahudi, sejarah para anbiya’ berkisar di bumi ini. Apa pun tempat yang dilawati dengan tujuan yang berbeza, perkara yang paling penting ialah kita memanfaatkan setiap langkah dengan mengambil iktibar untuk menambah baiki kehidupan kita.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Nukilan oleh :

Ustaz Azhar Bin Dato’ Ab Shukur, Pengarah Urusan EZ Kembara Sdn Bhd, mantan pembantu Mufti Kemboja dan Pengarah Urusan EZ Qurban Sdn Bhd serta lembaga pengarah bagi syarikat yang bernaung di bawah EZ Group

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!