Tips Mencari Pakej Yang Patuh Syariah

Kem Percutian Alam
June 5, 2018

Tips Mencari Pakej Yang Patuh Syariah

Akhir-akhir ini, minat masyarakat muslim untuk mengembara dan melancong menyaksikan trend peningkatan. Ini mungkin kerana beberapa faktor, seperti peningkatan taraf hidup, keupayaan ekonomi yang semakin baik, kemunculan pelbagai pakej dan tawaran pelancongan yang membawa ‘mesej’ Islam disamping kesedaran umat Islam bahawa mengembara itu adalah satu aktiviti riadah yang digalakkan di dalam Islam.

Persoalannya, adalah bagaimanakah kita ingin memilih pakej-pakej yang benar-benar ‘Islamik’ atau ‘patuh syariah’? Kerana banyka juga rungutan yang kita dengar, perihal mereka yang menghadapi kesukaran untuk ‘makan-minum’ di negara asing, kerana tidak disediakan ‘pakej’ yang sewajarnya oleh pihak agensi pelancongan. Ada juga yang mengatakan mereka sukar mengetahui waktu solat, tiada panduan kiblat, ataupun jadual lawatan yang padat dan tidak mengambil kira keperluan khusus muslim.

Tip-tip berikut mungkin boleh membantu, sebelum kita memilih sesuatu pakej lawatan atau pelancongan muslim.

1. Bermula dengan niat
Sebelum merancang atau memilih pakej pelancongan, renung seketika ke dalam diri kita. Apakah niat kita untuk menyertai atau memilih pakej tersebut? Ini amat penting kerana seperti mafhum Hadith Sidna Rasulullah SAW, “Setiap ‘amal dihitung dengan niat..”.

Niat kita perlu jelas dan bersih, iaitu untuk menjadi hamba Allah yang berjalan di atas mukabumi ini, untuk melihat keindahan dan kehebatan ciptaan dan kejadian Allah SWT, dan seterusnya mengambil iktibar atau pengajaran dari apa yang kita perhatikan itu. Jika ini tujuan kita bermusafir, maka ia akan dikira sebagai amal kebaikan, insya Allah.

Lebih-lebih lagi jika kita dijadualkan akan melawat tempat-tempat bersejarah di dalam Islam, seperti masjid, maqam orang soleh, pusat pendidikan atau kesan peninggalan tamadun terdahulu, maka perlu kita perbaiki niat, dan rujuk panduan amalan yang boleh dan tidak boleh dilakukan di tempat-tempat tersebut.

2. Pilih pakej yang tersusun
Jika ada beberapa pilihan pakej, pilihlah pakej yang jadualnya nampak menarik dan lebih tersusun, terutama jadual yang mengambil-kira waktu solat. Contohnya, pilih pakej yang memasukkan masa dan jadual solat di dalam itinerari perjalanan, seperti contohnya “ketika transit di Dubai, peserta disyorkan untuk menunaikan solat jamak zohor dan asar, sebelum menyambung ke penerbangan berikutnya”.

Panduan sebegini amat membantu kerana seringkali apabila di dalam perjalanan yang panjang dan berbeza zon waktu, kita keliru mengenai waktu solat, atau mungkin terlupa sama sekali. Maka jadual pakej yang memasukkan jadual waktu solat, pasti membantu kita untuk kekal menjaga solat.

3. Pilih pakej yang menjamin makanan halal
Perkara ini amat penting, terutama jika kita berjalan ke negara non-muslim, atau majoriti bukan muslim, atau amat sukar bertemu umat Islam. Sebaik-baiknya cari pengendali lawatan yang memasukkan ‘pakej termasuk makan-minum halal untuk sepanjang trip lawatan’. Ini bermakna, pihak agensi telah mengenalpasti kedai dan restoran yang akan disinggah dan dinikmati hidangan mereka, menyediakan makana halal. Contohnya sudah banyak pakej-pakej ke China dan sebagainya, yang telah memasukkan ‘makan-minum’ di restoran Chinese-Muslim tempatan, sebagai tawaran mereka.

4. Bawa kompas mudah, atau alat bantu arah kiblat
Apabila di hotel atau bilik penginapan, kita perlu ingat bahawa kita bukan di Malaysia, yang menjadi kelaziman bilik hotelnya menyediakan petunjuk arah kiblat. Ketika di luar negara, bawalah kompas, atau smartphone, atau apa-apa alat bantu untuk mencari arah kiblat. Jika tidak, bertanyalah kepada petugas di kaunter, arah kiblat, atau Mekah. Jangan jadikan tidak tahu kiblat sebagai alasan untuk tidak solat.

5. Aturcara lawatan
Berhati-hati juga dalam meilih pakej lawatan, kerana ada kalanya kita terpaksa mengikuti acara lawatan yang tidak sesuai dengan kehendak syarak, seperti pergi ke kuil atau candi, atau rumah berhala, atau melawat ke tempat-tempat maksiat, atau diadakan jamuan, party atau majlis yang dihidangkan arak atau makanan haram. Semak dengan pengendali pakej, apakah jadual lawatan kita. Elakkan masalah kemudian hari.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Nukilan oleh :

Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili adalah murid kepada Syeikh Dr Mahmoud Mrglani. Beliau adalah rakan kongsi EZ Kembara Sdn. Bhd., dan mantan Pengarah Radio IKIMfm. Beliau juga adalah Principal Consultant di Cerna Minda Sdn. Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!