![](https://www.ezkembara.com/wp-content/uploads/2018/06/Sahabat-Seperjalanan-Sahabat-Setiakawan.jpg)
Sahabat seperjalanan sahabat setiakawan
June 5, 2018![](https://www.ezkembara.com/wp-content/uploads/2018/06/Tips-Mencari-Pakej-Yang-Patuh-Syariah.jpg)
Tips Mencari Pakej Yang Patuh Syariah
June 11, 2018Kem Percutian Alam
![](https://www.ezkembara.com/wp-content/uploads/2018/06/Kem-Percutian-Alam-1000x480.jpg)
Baru-baru ini, saya dan beberapa petugas di EZ Kembara telah melakukan lawatan kerja ke sebuah Kem Agro Resort yang terletak berdekatan dengan Tapah, di laluan Tanah Rata menuju ke Cameron Highlands.
Tujuan kami adalah untuk meninjau potensi kem tersebut untuk disenaraikan sebagai lokasi percutian dan dimasukkan di dalam salah satu pakej pelancongan kendalian EZ Kembara. Ini adalah kerana, acapkali pihak kami menerima pertanyaan dari pelbagai kumpulan, kelompok dan organisasi yang ingin mengendalikan program, kursus, atau hari keluarga yang berteraskan alam dan keaslian flora dan faunanya.
Pemilihan tapak kem untuk sesuatu aktiviti luar adalah amat kritikal, kerana jika tersilap pilih, aktiviti yang ingin dilakukan mungkin tidak kesampaian, ataupun kemudahan yang disediakan menyebabkan para peserta merasa tidak selesa, ataupun jika khidmat yang disediakan tidak merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan, dikhuatiri akan mengundang bencana.
Kem yang sesuai untuk aktiviti luar, seharusnya mempunyai keluasan tidak kurang dari 10 ekar, supaya memiliki persekitaran, kawasan lapang dan koleksi tumbuhan yang hijau dan saujana mata memandang.
Bagi penghuni kota metropolitan yang sentiasa sibuk, diasak dengan kesesakan jalanraya, tinggal di dalam ‘hutan batu’, menyedut asap kenderaan, rokok dan bahan cemar lain, maka berada di sebuah kem yang nyaman udaranya, segar pemandangannya, hening suasananya dan dibuai dengan alunan reriang, unggas dan serangga rimba yang indah, pasti merupakan suatu ‘jalan keluar’ atau ‘break-away’ dari keributan kotaraya.
Inilah yang dihasratkan oleh nurani kita, ingin kembali kepada ‘asal kejadian’, atau “back to nature”. Apabila telinga kita mendengar kicauan burung, unggas dan serangga, frekuensinya amat dekat dengan denyut nadi kita. Alunan irama rimba ini, adalah ibarat lagu yang membuai jiwa, terasa rehat, lapang dan ‘terbang tinggi menuju Pencipta’.
Begitu juga kekusutan jiwa dan minda oleh beban kerja seharian, atau rutin tugasan yang menimbun, akan dapat dirungkaikan saat mata kita dihidangkan dengan kehijauan pepohonan rimba, melihat kepelbagaian tumbuhan, buah-buahan dan bunga-bungaan yang pastinya cantik dan menarik warna-warninya. Potret rimba ini amat indah, tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Hanya hati yang masih hidup, dapat menghargai keindahan ciptaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hati yang terdetik dengan ciptaan yang indah ini, pasti merasai keagungan Sang Penciptanya.
Justeru, berlaku peningkatan terhadap pakej percutian yang berkonsepkan ‘alam’ ini. ‘Percutian Alam’ ini adalah satu jenis percutian yang perlu dicuba oleh kita. Maka di sini dicatatkan beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan di dalam memilih Kem Percutian Alam, atau Kem Agro Resort tersebut.
1. Keluasan dan rupabentuk mukabumi
Sebaiknya Kem tersebut hendaklah memiliki keluasan yang secukupnya untuk menampung pelbagai aktiviti dan bilangan pengunjungnya. Keluasan sekuarang-kurangnya 10 ekar adalah diperlukan untuk menempatkan kawasan penginapan, hutan rimba simpan untuk laluan rimba (jungle-tracking), aktiviti luar dan lasak, serta tapak perkhemahan, tapak perhimpunan, dewan serbaguna dan kawasan riadah.
Rupabentuk bumi yang berbukit dan tidak landai juga adalah satu tarikan alam, terutama kepada pecinta aktiviti pendakian dan lasak. Selalunya, mukabumi yang berbukit dan mencabar ini juga sesuai sebagai lokasi kursus atau latihan ‘outdoor’ yang diperlukan di dalam modul latihan organisasi dan pembinaan kumpulan.
2. Punca air asli
Sesuatu kem pastinya akan lebih menarik jika mempunyai sumber air semulajadi. Punca air asli ini akan memberikan bekalan air segar dan enak kepada para pengunjung, selain boleh menjadi tarikan aktiviti air yang sesuai.
Jika kem tersebut mempunyai aliran sungai yang deras dan boleh dijadikan jeram atau air terjun, maka ianya akan menjadi pusat percutian dan perkelahan yang menarik. Jika sumber airnya hanyalah aliran mata air yang kecil, ia tetap boleh diempang atau ditakungkan menjadi kolam untuk aktiviti air. Di sinilah pentingnya mukabumi berbukit-bukau tadi, kerana aliran alir boleh disalirkan masuk ke bahagian lembah atau lurah perbukitan, dan diempang untuk menjadi ‘kolam asli’.
Dengan adanya tapak aktiviti air ini, para pengunjung dapat berehat di tepi kolam, melakukan aktiviti ‘BBQ’ di tepi air, atau jika dapat diwujudkan kolam ikan, maka aktivit memancing adalah satu tarikan baru.
3. Kemudahan penginapan
Kem pelancongan alam yang baik juga, akan menyediakan kemudahan penginapan yang sesuai untuk semua golongan dan sasaran pengunjung. Sebaiknya ada penginapan berkonsepkan Chalet yang lengkap, sesuai untuk disewa oleh pengunjung berkeluarga. Chalet yang dilengkapi kemudahan asas, serta bilik air di dalamnya itu, akan menjadi ‘rumah percutian hujung minggu’ kepada keluarga yang ingin lari dari ‘kesempitan’ hidup di kota.
Sesuai dengan konsep ‘percutian alam’, maka penginapan yang asas dan membawa penghuninya lebih dekat dengan suasana alam juga adalah satu pilihan. Pihak kem boleh menyediakan tapak perkhemahan khusus, yang disediakan dengan kemudahan khemah yang boleh disewa, dan dipasang atau dibangunkan sendiri ileh pengunjung. Pengalaman mendirikan khemah, tidur di didalamnya, jauh dari kemewahan dan keselesaaan rumah, pasti menjadi tarikan kepada pengunjunga yang inginkan percutian mencabar.
Bagi memenuhi keperluan peserta perkhemahan dan program berkumpulan, maka penginapan secara dormitori (tinggal beramai-ramai seperti asrama) adalah amat relevan. Kos penginapan ini pastinya lebih murah, dan sesuai untuk disewa oleh pihak sekolah atau IPT yang ingin melakukan aktiviti kepada para penuntut.
4. Kemudahan aktiviti lasak
Kem yang kengkap, biasanya menyediakan beberapa kemudahan aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, jambatan gantung, ‘abseiling’ dan ‘rock-climbing’. Aktiviti ini menjadi tarikan kepada pengunjung yang ingin mencabar diri mereka dan melatih keberanian dan ketangkasan mereka. Semua aktiviti ini perlu kepada pengawasan jurulatih yang berkelayakan dan berlesen, demi menjamin keselamatan para penggunanya.
5. Kemudahan aktiviti air
Jika kem tersebut mempunyai kawasan aktiviti air, maka kemudahan aktiviti air juga perlu disediakan, seperti kayak, bot, pelampung, titi air dan sebagainya. Semua ini perlu untuk aktiviti air yang sesuai untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada modul latihan kepimpinan organisasi.
6. Pakej makan-minum
Kemudahan yang tidak kurang pentingnya adalah pakej makan-minum. Kem yang bagus, akan menyediakan pakej makan-minum yang berpatutan untuk para pengunjungnya. Selalunya, kem cuti sekolah akan termasuk pakej makan-minum 6 kali sehari, serta pilihan untuk aktiviti BBQ atau membakar ikan, ayam dan unggun api di waktu malam.
Jika kem tersebut mempunyai simpanan pokok-pokok buah-buahan, atau dusun yang telah berbuah, maka ianya pasti menjadi tarikan tambahan. Ada kem yang membenarkan pengunjung melakukan aktiviti memetik buah-buahan, atau mengutip durian yang gugur dari pokoknya, untuk menjadi hidangan para pengunjung. Aktiviti ini, pasti akan menjadi punca tarikan istimewa, terutama para pengunjung yang tidak lagi mempunyai kampung halaman untuk dinikmati, atau tiada peluang ke dusun sendiri untuk menikmati musim buah.
7. Program dan Aktiviti yang tersusun
Akhir sekali, kem percutian yang baik pasti memiliki program dan aktviti yang tersusun untuk para pengunjungnya. Kem akan menyediakan jurulatih, urusetia, fasilitator dan petugas yang akan menguruskan para pengunjung. Bagi pakej berkumpulan atau organisasi, modul latihan yang mempunyai nilai positif dan murni juga akan ditawarkan. Selain itu, petugas keselamatan sentiasa ada untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penghuni.
Justeru, mari kita kembali kepada ‘penghidupan alami’, “back to nature”. Semakin dekat kita dengan alam, kita akan merasa semakin hampir dengan Sang Penciptanya.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Nukilan oleh :
Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili adalah murid kepada Syeikh Dr Mahmoud Mrglani. Beliau adalah rakan kongsi EZ Kembara Sdn. Bhd., dan mantan Pengarah Radio IKIMfm. Beliau juga adalah Principal Consultant di Cerna Minda Sdn. Bhd.