Sahabat seperjalanan sahabat setiakawan

Satu perjalanan… seribu pengajaran
June 4, 2018
Kem Percutian Alam
June 5, 2018
Satu perjalanan… seribu pengajaran
June 4, 2018
Kem Percutian Alam
June 5, 2018

Sahabat seperjalanan sahabat setiakawan

Setiap individu yang mengelilingi kita dianggap kawan. Kawan biasa, kawan yang baik dan kawan yang dibenci. Kaum kerabat kita pun seharusnya kita jadikan kawan. Hari ini, dalam setiap kursus keibu-bapaan, ibu-bapa digalakkan menjadi kawan yang baik kepada anak-anaknya. Saidina Abu Bakr r.a dan Saidina Umar r.a adalah pak mertua baginda rasulullah manakala Saidina Ali r.a dan Saidina Uthman r.a adalah menantu rasulullah dan mereka juga merupakan sahabat baginda rasulullah. Malah mereka lebih dikenali sebagai sahabat rasulullah daripada dikenali sebagai pak mertua atau menantu baginda.

Begitulah tingginya kedudukan kawan atau sahabat pada seseorang. Sabda rasulullah yg bermaksud ‘Agama seseorang itu terbentuk dari agama kawannya’ menunjukkan betapa kawan boleh mempengaruhi seseorang. Oleh itu, memilih kawan adalah suatu perkara yang penting. Terdapat banyak bahan-bahan rujukan bagaimana cara memilih kawan walaupun sebenarnya kawan-kawan yang ada di sekeliling kita pada hari ini adalah orang yang bukan kita pilih. Hampir kesemua yang menjadi kawan kita pada hari ini lahir daripada persekitaran yang kita tidak pilih.

Walaupun begitu, kita berpeluang untuk menentukan seseorang itu menjadi kawan baik kita atau sekadar menjadi kawan biasa. Secara sedar atau tidak, kita akan mengajak berjalan ke tempat-tempat yang tertentu atau istimewa mana-mana kawan yang ingin kita kenali lebih rapat. Inilah fitrah manusia di sepanjang masa dan tempat. Lagi rapat ingin kita kenali seseorang, lagi jauh dan lama perjalanan yang dipilih untuk dikongsi bersama. Di antara masa-masa yang berharga dalam hidup kita adalah masa dalam pengembaraan. Oleh sebab itulah, kita akan mengambil orang-orang tertentu sahaja yang menemani kita di sepanjang pengembaraan yang ingin dilakukan.

Begitu juga sebaliknya, lagi benci kita pada seseorang maka seboleh-bolehnya kita cuba menghindarinya dalam setiap perjalanan samada dekat atau jauh. Malah lebih jauh dari itu, kita akan cuba menyembunyikan jadual perjalanan kita daripadanya. Ini dilakukan agar ‘peristiwa dan masa yang istimewa’ ini hanya dikhususkan kepada orang yang istimewa sahaja. Terasa bagai tidak berbaloi sekiranya peruntukan yang dibuat untuk satu-satu pengembaraan dapat dinikmati oleh orang yang kita tidak suka.

Pengembaraan bersama akan menentukan samada kita akan menjadi sahabat seumur hidup dengan teman sepengembaraan kita. Lagi sukar perjalanan maka bertambahlah kita mengenali seseorang. Kembara akan menyerlahkan identiti dan sifat seseorang dalaman dan luaran. Sifat penakut, berani, sombong, merendah diri, pemalas, rajin, suka membantu orang lain, mementingkan diri, pemurah, kedekut, pembersih, pengotor, pemarah, sabar dan sifat-sifat yang lainnya dapat dilihat semasa dalam perjalanan.

Berapa ramai di antara kita terkejut melihat perangai seseorang yang kita sangka selama ini kita kenali tetapi berubah sebaliknya semasa kita berjalan bersama. Sekadar jenaka, orang-orang yang kita sangka warak dan baik rupa-rupanya suka mengorat semasa mengembara. Selalu juga terjadi bagaimana seseorang yang cukup menjaga ‘style’ dan ‘status’ boleh menjadi marah tahap ‘histeria’ apabila menghadapi masalah dalam perjalanan. Sebaliknya, ada orang yang kita sangka buruk tetapi rupa-rupanya terlalu baik apabila kita berjalan bersamanya. Penulis yakin setiap orang dari kita yang selalu mengembara akan mengalami perkara-perkara sebegini.

Kesabaran dan keikhlasan akan diuji semasa mengembara. Sebaiknya kita gunakan ‘medan ujian’ ini untuk kita kenali sahabat kita di samping memperbaiki diri sendiri. Bukan bermakna kita perlu tinggalkan sahabat apabila terserlah kekurangannya tetapi di sana kita berpeluang memperbaiki kekurangan yang ada agar kita juga dapat manfaatnya apabila sahabat menjadi baik. Terima seadanya sifat sahabat yang tak mampu kita ubah sekiranya kita ingin terus menjadi sahabatnya dan selagi tidak memudaratkan kita. Harus diingat bahawa kesempurnaan itu milik Pencipta dan selagimana kita mahu bersahabat dengan manusia, pasti ada kekurangan. Dari satu sudut yang lain, sahabat juga akan menilai diri kita sepanjang dalam perjalanan dan pasti akan terserlah kekurangan kita.

Kita pernah membicarakan kenapa sesuatu perjalanan itu boleh menyerlahkan diri kita yang sebenarnya. Suasana ketika mengembara amat berbeza dengan kehiduan seharian. Kemudahan yang diperlukan sentiasa berada dalam pengetahuan kita apabila berada di tempat sendiri. Adapun ketika mengembara, kemudahan serta kenalan yang terhad menyebabkan kita rasa terhimpit apabila masalah datang melanda. Bekalan yang dibawa bagi kemudahan sepanjang perjalanan juga sebenarnya menjadi bebanan yang tidak boleh ditinggalkan. Kekurangan dan kehabisan bekalan tidak mengurangkan pula bebanan kita. Hasilnya, sekira tidak sabar maka keluarlah segala sifat tersembunyi yang kita cuba sorokkan selama ini.

Dalam masa yang sama, medan ini juga boleh membentuk dan mentarbiah diri kita. Ketahanan kesabaran boleh dibentuk dan dipupuk dalam keadaan begini. Kemampuan mengawal diri dalam keadaan yang terhimpit akan meningkatkan jatidiri yang baik. Keprihatinan kita pada sahabat seperjalanan dan memberi bantuan kepada mereka ketika kita juga menghadapi masalah yang sama akan menyebabkan kawan kita lebih menghargai dan mengiktiraf keikhlasan persahabatan. Hubungan persahabatan lebih telus dan tiada sifat kepura-puraan. Kita selalu mendengar pepatah ‘kawan yang baik ialah kawan semasa senang dan kawan semasa susah’.

Dalam suatu kisah, Saidina Umar r.a. bertanya kepada seorang lelaki apabila ia melantik seseorang untuk menjadi saksi baginya. “Apakah kamu kenal lelaki ini?” tanya Saidina Umar r.a “Ya, saya kenal,” jawab lelaki tersebut. Saidina Umar bertanya lagi “Pernahkah kamu berjalan dengan saksi ini dalam musafir?” Lelaki itu menjawab “Tidak pernah,” Saidina Umar r.a. bertanya lagi “Pernahkah kamu bermuamalah supaya kamu tahu setakat mana waraknya dia? Pernahkah kamu menjadi jirannya supaya kamu tahu kemana perginya dan setakat mana pergaulan, siapa keluarga dan kawan – kawannya”. Begitu teliti Saidina Umar memberi panduan untuk mengenali seseorang. Kesimpulan dari kisah ini ialah kita seharusnya mengembara bersama seseorang yang ingin kita kenali dan percayai untuk diserahkan amanah kepadanya.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Nukilan oleh :

Ustaz Azhar Bin Dato’ Ab Shukur, Pengarah Urusan EZ Kembara Sdn Bhd, mantan pembantu Mufti Kemboja dan Pengarah Urusan EZ Qurban Sdn Bhd serta lembaga pengarah bagi syarikat yang bernaung di bawah EZ Group

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *