UMRAH BADAL

Tips Mencari Pakej Yang Patuh Syariah
June 11, 2018
Tips Mencari Pakej Yang Patuh Syariah
June 11, 2018

UMRAH BADAL

1. Umrah Badal bermaksud melakukan umrah secara gantian untuk orang lain sama ada berupah atau percuma.

2. Dalam Mazhab Syafie, umrah badal boleh dilakukan untuk:

a) Si mati yang semasa hidupnya tidak pernah mengerjakan umrah.
b) Individu yang tidak mampu sampai ke Tanah Suci atas faktor kesihatan seperti lumpuh dan sebagainya.

Penjelasan lanjut bagi si mati yang semasa hidupnya tidak pernah mengerjakan umrah:

a) Jika semasa hidupnya syarat-syarat wajib umrah sudah dipenuhi namun dia mati dalam keadaan tidak melaksanakan umrah, wajib dilakukan umrah daripada harta peninggalannya dengan segera. Ahli warisnya wajib menolak jumlah yang mencukupi untuk badal umrahnya sebelum harta peninggalan tersebut diagihkan mengikut faraid. Jika dia tidak meninggalkan harta, sunat bagi warisnya melakukan umrah untuk si mati atau mengupah seseorang melakukan umrah untuk si mati. Orang ajnabi (iaitu tiada hubungan kekeluargaan dengan si mati) juga boleh melaksanakan umrah bagi si mati ini walaupun tanpa izin warisnya.
b) Jika semasa hidupnya syarat-syarat wajib umrah tidak dipenuhi olehnya dan kemudian dia mati dalam keadaan tidak melaksanakan umrah, tidak wajib dilakukan umrah untuknya daripada harta peninggalannya. Namun pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafie, warisnya atau ajnabi (iaitu yang tiada hubungan kekeluargaan dengan si mati) boleh melakukan umrah bagi si mati ini walaupun tanpa izin warisnya.
c) Secara umumnya, bagi yang mati dalam keadaan tidak wajib melaksanakan umrah semasa hidupnya, waris atau ajnabi boleh melaksanakan umrah untuk si mati atau mengupah orang lain melaksanakan umrah untuk si mati.

3. Tidak sah melaksanakan umrah badal bagi:
a) Si mati telah melaksanakan umrah semasa hidupnya melainkan jika dia berwasiat supaya melaksanakan umrah untuknya sebelum meninggal dunia.
b) Orang yang sihat tubuh badannya dan masih hidup.

4. Boleh dikatakan sangat jarang si mati ada berwasiat supaya melaksanakan umrah untuknya sebelum meninggal dunia. Namun ini tidaklah menghalang bagi waris si mati seperti anak untuk melakukan kebajikan kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia yang pernah melakukan umrah semasa hayat mereka. Caranya adalah dengan Jemaah berkenaan meniatkan umrah bagi dirinya sendiri. Kemudian apabila selesai umrah, berdoa semoga disampaikan pahala umrah tersebut kepada kedua ibu bapanya. Menurut al-Ghamrawi (2016) yang bermaksud:

“Maka seluruh amalan kebajikan harus dipohon kepada Allah SWT agar dikurniakan kepada si mati pahala yang sama sebagaimana amalan yang dilakukan itu (oleh orang yang hidup).”

5. Orang yang masih hidup dan pernah melakukan umrah sendiri, kemudian jatuh sakit yang menyebabkannya tidak mampu sampai ke Tanah Suci boleh meminta orang lain melakukan umrah badal sunat untuknya.

6. Orang sihat yang pernah melakukan umrah sendiri tidak sah meminta orang lain melakukan umrah badal sunat untuknya.

7. Kanak-kanak yang masih belum baligh tidak wajib melakukan umrah. Jika dia mati sebelum baligh, wali atau orang yang diizinkan oleh wali boleh melakukan umrah badal untuknya. Umrah yang dilakukan ini berstatus sunat.

8. Orang gila juga tidak wajib melakukan umrah. Jika dia mati, wali atau orang yang diizinkan oleh wali boleh melakukan umrah badal untuknya. Umrah yang dilakukan ini berstatus sunat.

9. Orang yang sihat dan mampu melakukan umrah dari sudut kewangan dan fizikal kemudian dia menjadi gila, boleh dilakukan umrah badal untuknya selepas dia meninggal dunia. Tidak boleh dilakukan umrah badal semasa hidupnya kerana keizinan daripadanya tidak dapat diperoleh kerana akalnya tiada.

10. Bagi kanak-kanak yang belum baligh tetapi sudah mumaiyiz yang sudah melaksanakan umrah bagi dirinya boleh melaksanakan umrah sunat untuk si mati (jika diwasiatkan). Namun untuknya melaksanakan badal umrah wajib adalah tidak sah.

11. Melakukan umrah badal sama seperti melakukan umrah untuk diri sendiri iaitu dengan melakukan segala rukun, wajib dan sunat umrah. Melainkan pada niat sahaja iaitu:

“Sahaja aku berniat umrah untuk (sebutkan nama) dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta’ala.”

12. Jemaah yang telah sempurna umrah badalnya dan telah sihat kembali serta ada istita’ah, wajiblah ke atasnya menunaikan ibadat umrah dengan sendiri.

13. Kadangkala terdapat keadaan Jemaah yang mahu melakukan umrah badal untuk warisnya yang sudah meninggal dunia. Namun yang menjadi kemusykilan mereka adalah nama waris tersebut tidak diketahui atau sudah dilupai kerana waris tersebut sudah lama meninggal dunia. Apatah lagi jika waris tersebut merupakan datuk nenek moyang lapisan yang sudah jauh ke atas. Dipercayai dengan yakin mereka meninggal dunia dalam keadaan tidak pernah melakukan umrah semasa hayat mereka. Dalam keadaan ini, boleh sahaja berniat umrah badal dengan ditentukan atau dimaksudkan sahaja tuan punya badan yang dilakukan badal umrah untuknya walaupun tidak disebut namanya.

UMRAH BAGI PESAKIT DOWN SINDROM

Penjelasan hukum melakukan badal haji/umrah wajib bagi pesakit Down Sindrom adalah seperti berikut:

1. Pesakit perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor pakar untuk mengenal pasti tahap penyakit yang dialami sama ada dalam kategori orang yang boleh memahami arahan serta mampu mempelajari sesuatu atau tidak.

2. Jika pesakit dalam kategori yang boleh memahami arahan serta mampu untuk mempelajari sesuatu, pesakit tersebut adalah dalam kategori orang yang mampu menerima taklif. Wajib ke atasnya melakukan haji/umrah sekiranya memenuhi syarat-syarat wajib haji/umrah.

3. Jika pesakit tidak mampu untuk pergi sendiri kerana penyakit tersebut dan tiada harapan untuk sembuh, wajib atas walinya menguruskan badal haji/umrah ke atas pesakit tersebut setelah mendapat keizinan darinya dan telah cukup syarat-syarat istita’ah (kemampuan) yang lain.

4. Jika pesakit dalam kategori tidak boleh memahami arahan serta tidak mampu untuk mempelajari sesuatu, tidak wajib ke atas pesakit tersebut melakukan haji/umrah. Walinya juga tidak wajib menguruskan badal haji/umrah ke atasnya.

Sumber: Buku Fiqh Umrah Kontemporari Norma Baharu (Berdasarkan Mazhab Syafie & Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan) oleh Prof. Madya Dr. Jamalluddin Bin Hashim. Cetakan Kedua: Ogos 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *